KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Pelbagai tindakan dan keputusan
kerajaan untuk mentransformasi perkhidmatan teksi adalah untuk
memastikan industri itu terus berdaya maju, kata Datuk Seri Najib Tun
Razak.
Perdana menteri berkata industri teksi telah memainkan peranan penting
sebagai mod pengangkutan batu pertama dan terakhir di negara ini namun
perkhidmatannya perlu ditingkatkan lagi dengan amalan perniagaan terkini
dan sejajar kemajuan teknologi.
Dalam catatan di laman blog www.najibrazak.com, beliau berkata kerajaan
telah mengenal pasti beberapa masalah yang membantutkan perkhidmatan
teksi seperti model perniagaan yang lapuk, kos pengendalian melebihi
pendapatan serta kualiti pemandu dan piawaian kenderaan.
Masalah lain ialah ketiadaan pengawasan berpusat, persepsi umum tidak memuaskan dan cabaran inovasi baharu seperti 'e-hailing'.
"Banyak inisiatif yang telah kita jalankan untuk membantu industri
teksi mengatasi masalah ini serta meningkatkan kualiti perkhidmatan
teksi seiring dengan Rancangan Transformasi Teksi," katanya.
Antaranya, Teksi Rakyat 1Malaysia (TR1Ma), Teksi 1Malaysia (TEKS1M),
Semakan Kadar Tambang 2015 dan Makmal Industri Teksi 2015, kata Najib.
Beliau menjelaskan inisiatif Program Transformasi Industri Teksi yang
diluluskan Kabinet pada Ogos lepas, hasil Makmal Industri Teksi 2015,
adalah untuk membawa perubahan menyeluruh kepada perkhidmatan itu.
"Bukan sahaja dari segi kawal selia, tetapi juga rombakan model
perniagaan seiring kemajuan inovasi dan teknologi, yang seterusnya
membolehkan persaingan lebih adil di antara semua pemberi perkhidmatan
teksi negara," katanya.
Berhubung status perkhidmatan e-hailing seperti Uber dan Grabcar,
perdana menteri berkata kelulusan yang diberi telah meletakkan kedua-dua
perkhidmatan itu di bawah kawal selia Suruhanjaya Pengangkutan Awam
Darat (SPAD) dan disertai beberapa syarat tertentu.
"Ingin saya tegaskan di sini bahawa keputusan ini diambil bukanlah
untuk kepentingan mana-mana satu pihak. Sebaliknya, ia diambil untuk
menggalakkan keusahawanan dan inovasi, memungkinkan perubahan lebih
besar berlaku dalam usaha kita mentransformasi perkhidmatan teksi secara
keseluruhannya," katanya.
Najib berkata Program Transformasi Industri Teksi juga melibatkan
inisiatif untuk memelihara kebajikan pemandu teksi melalui penyeragaman
kontrak pajak, pembukaan permohonan lesen teksi individu, memperluas
senarai kereta layak sebagai teksi dengan mementingkan ciri keselamatan,
serta meletakkan KPI ke atas syarikat teksi.
Selain itu, SPAD akan merasionalisasi tambang teksi dengan
menyeragamkan tambang teksi bermeter, menyemak semula sistem kupon
supaya berasaskan jarak dan bukan lagi zon, serta membenarkan tambang
dinamik, yang memberi kebebasan buat pemandu teksi mengguna dan memilih
tambang yang ditetapkan perkhidmatan e-hailing.
Kata perdana menteri, meskipun SPAD ditugaskan untuk mengetuai perubahan
dalam industri teksi, tetapi transformasi menyeluruh hanya boleh
dilakukan dengan kerjasama semua pihak yang terlibat.
"Hakikatnya, setiap perubahan itu tentu melalui pelbagai cabaran.
Apatah lagi bila kita ingin mentransformasikan sebuah perkhidmatan yang
telah bertapak bertahun lamanya dan begitu selesa dengan cara
tradisional.
"Untuk maju, kita harus bergerak seiring dengan teknologi dan inovasi
semasa dan perlu sentiasa fokus untuk menjadikan perkhidmatan kita mesra
pengguna dan maju setaraf dengan negara lain di dunia," katanya.
Sumber : Bernama
No comments:
Write comments