Advertising

Tuesday, October 18, 2016

MURID DICAMPAK ULAR MUNGKIN TRAUMA

 


SHAH ALAM: Tindakan mencampak ular ke dalam kolam air berselut ketika sekumpulan murid perempuan sedang melakukan latihan modul pembinaan di Kuala Kangsar, baru-baru ini dibimbangi akan meninggalkan kesan trauma.


Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan, berkata berdasarkan laporan awal yang diterima oleh pihaknya, guru pengiring sudah meminta kepada anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) terbabit untuk tidak menggunakan ular dalam modul itu, namun ia tidak diendahkan dengan alasan ia bukan dari jenis berbisa.

"Kita sudah mengarahkan pejabat pendidikan daerah dan pengurusan sekolah berhubung dengan keluarga semua murid terbabit dan memantau rapi mereka. Kita bimbang jika kemungkinan berlakunya kesan emosi akibat insiden ini.

"Saya memang kecewa dengan apa yang berlaku. Walaupun ular yang dimasukkan ke dalam kolam bukan spesis berbisa atau berbahaya, namun ia bukan alasan untuk lakukan perkara sebegini," katanya.



Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Anugerah Kantin Bersih, Selamat dan Sihat Peringkat Kebangsaan 2016, yang dirasmikan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam, di sini, hari ini.

Kelmarin, Kolonel Pertahanan Awam Perak, Mohd Noor Hassan Ashari Sulaiman, berkata pihaknya menggantung serta-merta modul pembinaan murid, bagi menyiasat sama ada terdapat pelanggaran operasi prosedur standard (SOP) berhubung kejadian yang menjadi viral di media sosial itu.

Beliau berkata, APM sudah menjalankan modul latihan untuk membina jati diri murid lebih daripada 10 siri sejak tiga tahun lalu, namun kejadian penggunaan ular adalah pertama kali berlaku.

Dalam rakaman berdurasi 2 minit 50 saat itu kelihatan sekumpulan kanak-kanak perempuan yang berpakaian sukan lengkap dipaksa meredah kolam air berselut yang dicampakkan ular selain turut disiram air serta disergah supaya memberanikan diri menghadapi ujian yang diberikan itu.

Ia menyebabkan ada antara murid yang panik, ketakutan dan menangis, sehingga menimbulkan kemarahan orang ramai.

Sumber : BH Online




    Choose :
  • OR
  • To comment
No comments:
Write comments