Advertising

Saturday, October 29, 2016

PRUBSN WARISAN : FLEKSIBILITI SUMBANGAN BERMULA 5 TAHUN DENGAN PERLINDUNGAN SEHINGGA UMUR 80 TAHUN

 

Prudential BSN Takaful Berhad (PruBSN) kini telah melancarkan pelan perlindungan takaful hayat terbaru yang dikenali sebagai PruBSN Warisan.  Pelan perlindungan takaful terbaru dari PruBSN ini dikhabarkan menawarkan perlindungan hayat minimum RM350,000 yang boleh diHIBAHkan dengan mudah kepada warisan yang dinamakan di dalam sijil takaful peserta. PruBSN menjangkakan PruBSN Warisan akan mendapat sambutan dihati masyarakat memandangkan nilai sumbangan yang amat berpatutan dengan manfaat yang ditawarkan.

Berikut adalah petikan dari brosur PruBSN Takaful;

PruBSN WARISAN
Salah satu daripada matlamat dalam hidup adalah untuk memastikan mereka yang tersayang dijaga walaupun setelah ketiadaan anda. Anda akan berasa lebih tenang dengan harapan bahawa mereka akan menjalani kehidupan yang lebih baik kerana anda mampu memberikan mereka keselesaan yang terbaik.

Namun kadangkala hidup ini tidak mudah, dan perjalanan anda dalam membina legasi terkandas disebabkan pelbagai tanggungjawab dalam kehidupan. Anda terpaksa mengutamakan hal-hal semasa yang mungkin menghalang simpanan dan pelaburan anda untuk masa hadapan.

PruBSN Warisan direka khas bagi memenuhi keperluan anda untuk meninggalkan warisan buat orang yang tersayang dalam bentuk hibah sekiranya perkara yang tidak diingini menimpa anda. Ianya satu pelan takaful berkaitan pelaburan yang memberikan perlindungan yang tinggi. Dengan PruBSN Warisan, anda dan orang yang anda sayangi dilindungi daripada hidup yang tidak terjamin supaya warisan anda akan terbina dengan teguh.



CIRI-CIRI PRODUK
Perlindungan Yang Penting

Manfaat-manfaat ini dicipta untuk memberi perlindungan kepada anda dan keluarga dengan jumlah perlindungan yang tinggi berdasarkan sumbangan yang berpatutan.

Peruntukan Sumbangan
Sumbangan anda (selepas ditolak caj-caj Wakalah) akan dilaburkan di dalam dana berkaitan pelaburan yang patuh Syariah mengikut pilihan anda. Kadar peruntukan sumbangan anda bergantung kepada Tempoh Sumbangan yang dipilih. Sila rujuk kepada Ilustrasi Pelan untuk maklumat lanjut. Bergantung kepada Tempoh Sumbangan yang anda pilih, sebahagian daripada sumbangan anda mungkin akan dimasukkan di dalam IUA yang mempunyai kadar peruntukan yang lebih tinggi, sebanyak 95%.

Pilih daripada 3 jenis dana pelaburan untuk sumbangan anda mengikut toleransi risiko anda:
• Takafulink Dana Ekuiti • Takafulink Dana Bon • Takafulink Dana Urus

MANFAAT TAMBAHAN
Perlindungan Mengikut Keperluan Anda
Sesuaikan perlindungan dengan keperluan gaya hidup anda dengan rider tambahan PruBSN
Warisan.


PruBSN Warisan adalah produk yang berasaskan Syariah.
Prudential BSN Takaful Berhad merupakan Pengendali Takaful
yang berdaftar di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam
2013 dan di kawalselia oleh Bank Negara Malaysia.



REMAJA MAUT LANGGAR BELAKANG LORI SAMPAH

 
Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian selepas motosikal ditunggang merempuh bahagian belakang lori sampah.

MARANG - Remaja lelaki maut apabila motosikal ditunggang melanggar belakang lori sampah yang berhenti di bahu jalan di Kilometer 17 Jalan Kuala Terengganu ke Kuantan, di Kijing, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.20 malam itu, mangsa, Afiq Asyraf Noor Hafizin Lot, 16, beralamat dari Perumahan Polis Ibu Pejabat Polis Daerah Marang di sini, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC dalam perjalanan menghala ke Kuantan dari arah Kuala Terengganu dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar belakang lori sampah berkenaan.


Rempuhan yang kuat itu mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Mayat pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Lela Segera itu kemudiannya dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk siasatan lanjut.

Difahamkan mayat anak anggota polis dari IPD Marang itu juga telah dituntut oleh ahli keluarganya untuk dibawa ke kampung halamannya di Pasir Mas, Kelantan bagi urusan pengebumian.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Suhaimi Ali yang mengesahkan menerima laporan berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan dan kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber : Sinar Online


HOSPITAL MEDAN ATM DI HSA DIJANGKA DIBUKA ESOK

 


JOHOR BAHRU, 30 Okt (Bernama) -- Hospital medan milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di perkarangan bangunan induk Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini dijangka dibuka esok bermula pukul 8 pagi.

Kerja pemasangan hospital itu masih giat dijalankan dan apabila dibuka ia akan beroperasi 24 jam untuk tempoh dua minggu dengan memberi tumpuan kepada kes kecemasan yang memerlukan rawatan segera.


Hospital medan itu mampu memberi perkhidmatan rawatan kepada kira-kira 60 hingga 70 pesakit serta melakukan lima hingga enam pembedahan setiap hari.

Kemudahan itu terdiri daripada lima unit Modul Hospital Hadapan ATM yang akan dibentuk menjadi satu dewan bedah berukuran 244 meter persegi.

Ketua Pengarah Bahagian Perkhidmatan Kesihatan ATM, Lt Jen Datuk Dr Abd Razak Md Yusuff dalam sidang media pada Sabtu memaklumkan, ATM tidak mempunyai masalah melanjutkan tempoh penempatan hospital medan tersebut, bergantung kepada keperluan HSA.

ATM, katanya, juga akan menempatkan 20 hingga 30 anggota dan pegawai bagi membantu doktor HSA mengendalikan kemudahan hospital medan itu dari segi penyelenggaraan dan keselamatan.

"Kami diminta Kementerian Kesihatan membantu operasi di HSA setelah bilik bedah dan unit kecemasannya ditutup sementara dengan menyediakan fasiliti dewan bedah dan unit sokongan bagi kes kecemasan yang memerlukan rawatan segera dan pembedahan resusitasi.


"ATM akan bekerjasama dengan tenaga pakar HSA bagi menyediakan pelan tindakan yang sewajarnya membabitkan tugasan merawat serta membedah pesakit," katanya.

Dalam kejadian pukul 9 pagi Selasa lalu, unit rawatan rapi (ICU) zon selatan di tingkat dua bangunan induk HSA terbakar dan mengorbankan enam pesakit, selain tiga kakitangan HSA cedera akibat terhidu asap tebal.

Ia mengakibatkan penutupan sementara secara berperingkat bangunan induk HSA bagi memberi ruang kerja penilaian tahap keselamatan, pendawaian, kajian struktur bangunan dan hal-hal berkaitan yang dijangka mengambil masa dua hingga empat minggu.

Sumber : Bernama


(LAGI GAMBAR) TREN TERGELINCIR: TERBURUK DALAM TEMPOH 130 TAHUN

 


BATU GAJAH: Kejadian tren kargo tergelincir di KM200.283 di Kampung Bakap berhampiran Stesen Batu Gajah di sini, semalam adalah kejadian terburuk dalam sejarah perkhidmatan kereta api negara dalam tempoh 130 tahun. 


Pengerusi Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB), Datuk Ir Nawawi Ahmad, berkata walaupun sebelum ini berlaku beberapa insiden kereta api tergelincir, ia tidak seteruk kejadian itu. 


"Selama ini, kalau tergelincir pun hanya jatuh dan terbalik sahaja, namun kerosakan kali ini umpama serangan garuda sehingga semuanya rosak dengan dahsyat. 


"Oleh kerana gerabak itu kosong dan tiada muatan, ia menyebabkan gerabak mudah berlanggar satu sama lain.


"Mungkin kalau ada muatan, ia lebih kukuh kerana setiap satu gerabak tanpa muatan adalah 12 tan manakala jika ada muatan ia seberat 45 tan," katanya di lokasi kejadian di sini, hari ini. 

Proses pengalihan gerabak dan lokomotif yang tergelincir dari landasan berhampiran Kampung Bakap sedang dijalankan oleh pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad hari ini.Perkhidmatan Keretapi Elektrik (ETS) bagi laluan utara-selatan yang terjejas ekoran kejadian itu, beroperasi seperti biasa mulai 5 pagi esok. - Foto BERNAMA

Mengulas lanjut, Nawawi berkata, ekoran kejadian itu dianggarkan kos kerugian yang terlibat mencecah puluhan juta ringgit. 

"Satu lokomotif berharga RM12 juta manakala satu gerabak berharga RM400,000," katanya. 

Pengerusi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Datuk Ir Nawawi Ahmad (dua, kiri) menunjukkan 25 gerabak dan dua lokomotif yang tergelincir dari landasan berhampiran Kampung Bakap hari ini. Keretapi kargo 344 yang membawa 40 gerabak dengan dua enjin lokomotif tergelincir dan berlanggar di kilometer 200.283 semasa dalam perjalanan dari Kuang, Selangor menuju ke Tasek, Ipoh untuk mengambil simen. - Foto BERNAMA
Pada kejadian 3.15 pagi Jumaat lalu, dua lokomotif dan 40 gerabak dalam perjalanan dari Kuang, Selangor menghala ke Tasek, Perak, untuk mengambil muatan simen, tergelincir di KM200.332 antara Kota Bharu-Lahat di sini. 

Dalam insiden itu, dua lokomotif dan 25 gerabak mengalami kegelinciran.

Sumber : Bernama

WARGA SINGAPURA DIKHUATIRI LEMAS

 


KAWASAN sungai di mana mangsa dipercayai terjatuh.
SUNGKAI: Seorang lelaki warga Singapura dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Tesong dekat FELDA Sungai Klah di sini, petang semalam. 

Lelaki dikenali sebagai Koh Kah Wei, 30, itu dipercayai terjatuh ketika melakukan aktiviti berkayak berkenaan ketika hujan dan arus deras kira-kira jam 4.30 petang. 


Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Bidor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.48 petang sebelum anggota bergegas ke lokasi kejadian dan dimaklumkan seorang lelaki terjatuh ke dalam sungai. 

Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan dengan pencarian di lokasi mangsa terjatuh dan tebing sungai berkenaan. 

"Kita sudah membuka pusat operasi dan usaha mencari mangsa masih diteruskan sehingga pagi ini. 

"Anggota menghadapi kesukaran berikutan aliran sungai deras manakala paras air meningkat akibat hujan," katanya.
PUSAT operasi bomba dibuka malam tadi.
Sumber : BH Online



PERKHIDMATAN ETS IPOH-KAMPAR MASIH TERGENDALA

 
PERKHIDMATAN ETS bagi laluan Ipoh-Kampar dimaklumkan masih tergendala.
IPOH: Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) bagi laluan Ipoh ke Kampar di Stesen KTM Ipoh masih belum beroperasi setakat pagi ini. 


Tinjauan di stesen berkenaan di sini pagi ini mendapati, perkhidmatan yang sepatutnya beroperasi seawal perjalanan pertama jam 5 pagi tadi, masih tergendala susulan kejadian kereta api kargo tergelincir di Kampung Bakap, Batu Gajah sejak Jumaat lalu

Penumpang ke arah selatan masih perlu menaiki bas transit dari stesen itu ke Kampar. 

Papan tanda di stesen KTM Ipoh memaklumkan perjalanan tren masih tergendala dan KTMB memohon maaf kepada penumpang atas kesulitan dialami.


Difahamkan, setakat ini hanya perkhidmatan ETS bagi laluan Ipoh ke utara dibuka kepada penumpang berikutan perjalanan berkenaan tidak membabitkan kawasan insiden. 

Semalam, Pengerusi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Datuk Nawawi Ahmad, berkata kerja-kerja pengalihan gerabak yang tergelincir dan terbalik sudah lebih 70 peratus siap dilakukan setakat 5 petang. 

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi Jumaat lalu, kereta api kargo dengan dua lokomotif dan 40 gerabak tergelincir serta terbalik di Kampung Bakap, menyebabkan ribuan penumpang ETS terjejas akibat laluan terpaksa ditutup.

PENUMPANG ETS bagi laluan ke Selatan menaiki bas transit ke Stesen Kampar.

Sumber : BH Online


Wednesday, October 19, 2016

SUSPEK BUNUH BAKAL ABANG IPAR DITAHAN

 
Wan Abd Aziz menunjukkan pisau yang dirampas, dipercayai digunakan suspek dalam kejadian terbabit. - Foto Sinar Harian

KUALA TERENGGANU - Suspek utama kes pembunuhan bakal abang ipar di pekarangan tempat letak kereta, Kompleks Seri Iman, di sini, Ahad lalu berjaya ditangkap polis di Jalan Jeram, Kampung Petai Bubus, Manir, di sini , tengah hari tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata, suspek berusia 29 tahun yang diburu sejak empat hari lalu itu, ditahan kira-kira jam 12.30 tengah hari ketika sedang berjalan di kawasan terbabit.

“Suspek yang ketika itu dilihat dalam keadaan keletihan dan kelaparan, hanya mampu menyerah diri semasa ditahan, sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu untuk siasatan lanjut.

“Hasil ujian saringan awal air kencing terhadap suspek didapati negatif dan dia akan dibawa untuk mendapat perintah tahanan reman di mahkamah untuk siasatan selanjutnya,” katanya kepada pemberita di pejabatnya, hari ini.

Menurutnya lagi, selain kereta jenis Honda Ferio yang disorokkan di kandang lembu di Kampung Dusun Tembakau, Manir, di sini, polis turut merampas pisau yang digunakan suspek dalam kejadian terbabit.

“Pisau tersebut diserahkan ke Balai Polis Kuala Terengganu oleh seorang lelaki berusia 27 tahun, dipercayai rakan suspek pada Selasa lalu, kira-kira jam 1.40 petang iaitu selepas dua hari kejadian terbabit.


“Lelaki yang tinggal di Kampung Dusun Tembakau, Manir, di sini, memberitahu yang suspek telah berjumpa dengannya pada jam 12.30 tengah hari (hari kejadian) dan memberitahu dia telah tikam orang sebelum meminta lelaki itu simpan pisau tersebut,” katanya.

Wan Abd Aziz berkata, lelaki berkenaan memberitahu yang dia cuma mengetahui suspek membunuh menggunakan senjata itu selepas terbaca dalam akhbar mengenai kejadian pembunuhan tersebut.

“Sejurus mengetahui kejadian sebenar, lelaki itu merasa takut, lalu mengambil keputusan untuk datang ke balai dan serahkan pisau sepanjang 35 sentimeter yang disimpan kepada pihak polis.

Dalam kejadian Ahad lalu, mangsa, Mohd Shukri Husin, 34, yang bertugas di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan maut dipercayai ditikam sebanyak enam kali oleh suspek menggunakan pisau di dada dan di leher.

Mangsa dari Kelantan dikatakan berkunjung ke Pejabat Agama Kuala Terengganu bersama beberapa ahli keluarganya bagi membuat semakan mengenai status bujang bakal adik iparnya yang diragui itu.

Sumber : Sinar Harian